Ahad, 24 November 2013

Adab / Tatatertib Beribadah

A. Tujuan Dan Matlamat Beribadah  

Di antara tujuan dan matlamat seseorang mengerjakan solat dan lain-lain ibadah ialah:
1. Untuk bertaqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
2. Mohon Allah S.W.T. menerima dan meredhai persembahan ibadah kita.
3. Mohon agar mendapat kemenangan dan kejayaan di Hari Akhirat kelak.

B. Usaha Untuk Mencapai Matlamat

Bagi mencapai tujuan dan matlamat tersebut, beberapa adab dan peraturan terpenting hendaklah sentiasa dipenuhi ketika melakukan ibadah, khususnya solat. Di antaranya ialah:
1. Dilakukan dengan sepenuh ikhlas dan hati yang bersih kerana Allah S.W.T., bukan sekadar memenuhi kewajipan sahaja.
2. Dilakukan dengan penuh kecintaan terhadap Allah S.W.T. sebagai Khaliq yang mencipta diri kita.
3. Dilakukan dengan sepenuh tumpuan hati dan juga seluruh anggota badan (lahir dan batin). Di dalam ibadah solat hendaklah dikerjakan dengan khusyu'.


C. Pentingnya Khusyu' Dalam Solat


Khusyu' ketika mengerjakan solat merupakan jiwa yang menghayati solat itu sendiri. Setengah ulamak berpendapat bahawa solat yang tidak khusyu' adalah sia-sia sahaja. Terdapat beberapa firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran dan juga hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bahawa khusyu' merupakan syarat kejayaan seseorang di dalam solatnya. Di antaranya firman Allah S.W.T. (Surah Al-Mu'minun, ayat 1-2):

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ , الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Ertinya:
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu' dalam solatnya.

D. Kaedah Untuk Khusyu' Dalam Solat

1. Ingatkan di dalam hati bahawa kita sedang menghadap Allah S.W.T. yang sedang memerhati segala perbuatan kita.
2. Hendaklah memahami pekerjaan solat yang sedang dilakukan.
3. Dilakukan dengan hati yang bersih, ikhlas, tidak keluh kesah atau berperasaan malas.
4. Sebaik-baiknya hendaklah difahami erti dan makna setiap bacaan atau ucapan, atau zikir dalam solat seperti Takbir, Doa Iftitah, Fatihah, Surah, Tahmid, Tasbih, Tahiyyat serta doa-doa di dalam solat. Sambil membaca atau menyebut, ingatlah maknanya. Dengan demikian kita dapat menumpukan sepenuhnya pekerjaan solat itu.
Firman Allah (Surah An-Nisaa', ayat 43):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ
Ertinya:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri (mengerjakan) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.

Rasullullah S.A.W. pula bersabda yang bermaksud:
Apabila seseorang kamu mengantuk ketika sedang solat, maka hendaklah berpaling dari solatnya dan hendaklah tidur sehingga mengetahui akan apa yang diucapkannya.

Dari firman Allah dan hadith Rasulullah di atas, jelaslah betapa perlunya seseorang yang sedang mengerjakan solat itu mengetahui akan apa yang dibaca atau diucapkannya.
5. Bagi menjauhi was-was dan hasutan syaitan, baca Surah An-Naas sebelum Takbiratul-Ihram.
6. Arahkan pandangan mata ke tempat sujud dari awal hingga akhir.
7. Panjangkan ruku' dan sujud.
8. Jangan menggerak-gerakkan anggota badan atau tangan semasa solat.

Bersambung...
.